Hari Hartal Sekolah
Apa itu Hari Hartal Sekolah?
Hari untuk pelajar atau pihak-pihak yang prihatin akan mengadakan protes untuk menyokong gerakan #MakeSchoolASaferPlace dengan tidak hadir ke sekolah, sama ada secara fizikal atau atas talian.
Kenyataan Umum
KUALA LUMPUR, 30 APRIL 2021
Aktivis dan belia telah berganding bahu untuk bersolidariti dengan gerakan #MakeSchoolASaferPlace, bersama-sama dengan pelajar dan bekas pelajar yang telah tampil untuk menceritakan pengalaman mereka. Perbuatan jenaka rogol, gangguan seksual dan pemeriksaan mengejut haid yang dilakukan oleh guru dan warden telah mendedahkan kegagalan sistemik apabila pelajar dan ibu bapa ingin mendapatkan keadilan. Justeru, kami akan menganjurkan Hari Hartal Sekolah untuk menuntut reformasi dengan segera.Kes rogol dan gangguan seksual di sekolah seringkali tidak dilaporkan demi untuk menjaga nama baik sekolah dan pesalahlaku, manakala statistik terkini juga tidak diperincikan menjadikannya sukar untuk melihat gambaran keseluruhan tentang permasalahan ini. Rentetan peristiwa ini, apabila para pelajar bersuara tentang budaya rogol dan kesalahan seksual di sekolah mereka, amatlah penting agar suara-suara ini didengari dan diberikan perhatian yang serius untuk mengubah sistem persekolahan di Malaysia. Sebaliknya, guru, rakan sekelas serta orang awam telah membuat jenaka rogol dan pelbagai lagi kenyataan yang tidak sopan sebaik sahaja cerita-cerita ini didedahkan.Baru-baru ini juga terdapat pendedahan tentang “pemeriksaan mengejut haid”, di mana guru dan warden sekolah memaksa pelajar perempuan beragama Islam untuk menunjukkan tuala wanita mereka atau menggunakan cara-cara yang memalukan mereka untuk membuktikan bahawa mereka sedang datang haid. Ramai mangsa dan saksi telah menceritakan pengalaman mereka, di mana hak privasi dan keselamatan mereka sebagai kanak-kanak perempuan telah dicabuli.Meskipun dengan pendedahan ini, maklumbalas pihak berkuasa amatlah mengecewakan sama sekali. Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah menyifatkan bahawa ugutan rogol antara pelajar sebagai jenaka sesama mereka, manakala Menteri Pendidikan Dr. Mohd Radzi Md Jidin memberi kenyataan umum bahawa tiada bukti berlakunya pemeriksaan mengejut haid. Para guru dan kaunselor juga tampak membuat jenaka tentang perihal ini di atas talian dan kumpulan bual Whatsapp.Kami amat bimbang tentang kewujudan isu-isu ini dan amat marah sekali apabila pihak berkuasa yang terlibat tidak memberikan perhatian mahupun bertindak sama sekali. Justeru, kami telah memutuskan untuk menganjurkan protes ini, untuk mewar-warkan tentang #MakeSchoolASaferPlace. Kami menuntut agar pihak berkuasa untuk mula membuat perubahan di peringkat institusi agar budaya rogol, sama ada dalam bentuk normalisasi budaya rogol, layanan seksis, ugutan rogol dan penyalahan mangsa, serta kesalahan seksual harus dihentikan serta-merta dengan menyediakan kerangka laporan serta maklumbalas yang berkesan, dan juga memastikan staf akademik dilatih untuk menguruskan kes-kes seperti ini dengan sebaiknya.Kami, Pakatan NSWD yang terdiri daripada NGO, belia, ibu bapa serta guru, akan menganjurkan Protes Keluar Sekolah Seluruh Negara, satu hari di mana pelajar dan guru mengadakan protes dengan tidak hadir ke sekolah untuk SATU hari persekolahan, atau SATU masa mata pelajaran kelas, sama ada kelas atas talian ataupun fizikal, pada Khamis, 6 Mei 2021 atau Jumaat, 7 Mei 2021. Pilihan ini adalah agar komuniti tempatan pelajar, ibu bapa dan guru boleh menyelaraskan protes ini dengan selamat.Maklumat lanjut tentang bagaimana ia akan dijalankan ada disenaraikan di bawah. Kami percaya bahawa protes keluar sekolah yang diselaraskan seminggu dari hari ini adalah protes yang akan memberikan impak yang besar kepada pihak berkuasa, untuk menyatakan bahawa kita semua mengecam segala bentuk pelanggaran hak para pelajar ini dan menuntut reformasi untuk menjamin hak privasi dan keselamatan para pelajar di sekolah. Kami juga mahu lebih ramai pelajar dan guru untuk turut serta dalam bersolidariti kepada mangsa. Kami benar-benar berharap dengan panggilan ini, tagar #MakeSchoolASaferPlace tidak akan hilang semata-mata trend, tetapi akan menjadi gerakan yang terus mencabar norma masyarakat yang telah lama bertapak, dan juga untuk menggalakkan lebih banyak advokasi perubahan di masa akan datang.
Tuntutan Protes kami adalah seperti berikut:
1)Kami menekankan bahawa pelajar mempunyai hak untuk privasi dan keselamatan ketika berada di sekolah.
2)Kami menuntut agar gangguan, penderaan dan serangan seksual untuk dikenal pasti dan diberikan perhatian kerana ia adalah kesalahan berat di dalam dan di luar sekolah baik oleh pelajar, tenaga pengajar, jawatankuasa sekolah dan pihak berkuasa.
3)Kami menuntut agar pelaku gangguan, penderaan dan serangan seksual dikenakan tindakan tegas yang segera oleh pihak sekolah.
dan menuntut hak mereka di dalam dan di luar sekolah.
4)Kami menuntut agar semua pelajar yang telah tampil ke hadapan untuk menceritakan pengalaman mereka supaya suara mereka didengari, dihormati dan dilindungi dari sebarang bentuk penderaan di masa hadapan dan diberikan sokongan yang sewajarnya.
5)Kami menekankan bahawa semua pelajar haruslah dilindungi dan diberikan sokongan yang sewajarnya apabila mereka bersuara dan menuntut hak mereka di dalam dan di luar sekolah.
Untuk pelajar dan tenaga pengajar yang terlibat, berikut merupakan cara untuk menyertai Protes tersebut :
Tidak menghadiri kelas fizikal
Dengan kebenaran ibu bapa / penjaga, pelajar tidak akan menghadiri sekolah selama SATU hari penuh.
ATAUTidak menghadiri satu masa mata pelajaran
Dengan sokongan guru atau pihak sekolah, pelajar akan keluar dari bilik darjah untuk satu masa mata pelajaran.
ATAURiben putih dengan garisan atau corak berwarna merah
Para pelajar dan orang awam boleh menggunakan simbol ini sebagai tanda solidariti. Logo kami juga boleh digunakan sebagai contoh namun rekabentuk atau objek lain yang berkaitan dengan tema juga boleh diguna pakai.
Alternatif lain untuk menyertai Protes Sekolah Atas Talian:
Tidak menghadiri kelas atas talian
Dengan kebenaran ibu bapa/penjaga, pelajar tidak akan menghadiri kelas atas talian untuk satu hari penuh atau satu masa mata pelajaran.
ATAUProtes dalam kelas
Gunakan tanda palang #MakeSchoolASaferPlace sebagai nama profil dan/atau gambar semasa dalam kelas. Letakkan plakad digital atau fizikal bertulis #MakeSchoolASaferPlace di skrin atau latar belakang.
Untuk maklumat lanjut, panduan dan juga sumber, sila layari nswdmy-bm.carrd.co atau hubungi Pakatan NSWD di [email protected].
Pakatan NSWD adalah gabungan yang terdiri daripada:
1) Monsters Among Us
2) Demokrat Kebangsaan
3) Young Democrats Malaysia
4) Rape Watchdog
Disokong oleh:
1) Women’s March MY
2) GERAK
4) Sekolah Semua
5) Undi18
6) Malaysian Youths for Education Reform (MYER)
7) Youths.my
8) KRYSS Network
9) All Women’s Action Society (AWAM)
10) Women’s Aid Organisation (WAO)
11) Pelangi Campaign
12) Sisters in Islam
13) Solidariti Pendidikan
14) FiftyFiftyMalaysia
15) Kolektif Bunga Raya
16) CybHer
17) YWILD Malaysia
Cara Menyertai Protes
Untuk pelajar dan tenaga pengajar yang terlibat, berikut merupakan cara untuk menyertai Protes tersebut :
Tidak menghadiri kelas fizikal
Dengan kebenaran ibu bapa / penjaga, pelajar tidak akan menghadiri sekolah selama SATU hari penuh.
ATAUTidak menghadiri satu masa mata pelajaran
Dengan sokongan guru atau pihak sekolah, pelajar akan keluar dari bilik darjah untuk satu masa mata pelajaran.